Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Wanita Berdaya Selangor dan Perasmian Ekspo HaSSel di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 26 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kes Covid-19: Kerajaan Negeri tiada kuasa tutup sekolah

SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa menutup sekolah meskipun kes Covid-19 melibatkan institusi pendidikan di Selangor meningkat.

Dato’ Menteri Besar berkata kuasa berbuat demikian di bawah tanggungjawab Pejabat Pendidikan Daerah serta atas nasihat Pejabat Kesihatan Daerah.

“Perkara ini ada dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Kerajaan Negeri tidak boleh beri arahan tutup sekolah namun kita boleh beri pandangan.

“Baru-baru ini saya adakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin dan beliau beri jaminan perkara ini ditangani sebaik mungkin,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid 2021 di foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Amirudin berkata saringan bersasar Covid-19 menfokuskan komuniti yang menetap berhampiran sekolah atau pusat pendidikan yang berlaku penularan wabak.

“Perkara yang paling kita bimbang adalah warga emas atau mereka yang ada penyakit kronik, golongan ini paling mudah dijangkiti,” katanya.

Sebanyak 79 sekolah di Selangor ditutup hari ini dan esok berikutan pengesanan kes Covid-19.

Penutupan melibatkan 19 sekolah di kawasan daerah pendidikan Hulu Langat, Petaling Perdana (18), Klang (15), Gombak dan Petaling Utama (sembilan), Hulu Selangor (lima) serta Kuala Langat dan Sepang (dua).

Minggu lalu, sebanyak 19 sekolah sekitar Petaling diarah tutup berikutan pengesanan kes Covid-19.

Sabtu lalu, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat sehingga 7 Mei selepas 71 pelajar disahkan positif Covid-19.


Pengarang :