Selangorkini
Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech selamat tiba di Pejabat Kesihatan Putrajaya pada 24 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Kesan vaksin terhadap varian Afrika Selatan, Malaysia tunggu laporan WHO

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Vaksin Covid-19 yang digunakan sekarang mampu melindungi penerimanya daripada varian UK B.1.1.7 dan South African B.1.351, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Dr Adham berkata bagaimanapun pihaknya masih menunggu laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) berhubung kesan vaksin terhadap dua varian berkenaan.

“Kita lihat vaksin yang diguna setakat ini masih mampu mengatasi dan memberi perlindungan kepada penerimanya dan kita juga masih menunggu laporan daripada WHO dan CDC terhadap kesan-kesan atau varian ini boleh menyebabkan vaksin ini tidak efektif,” katanya dalam sidang media selepas majlis tandatangan Memorandum Persefahaman antara Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Pfizer Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada vaksin yang digunakan sekarang berkesan terhadap dua varian Covid-19 berkenaan.

Setakat semalam terdapat lima kes Covid-19 varian UK B.1.1.7 manakala 17 kes melibatkan varian South African B.1.351 telah dikesan.

Dalam pada itu, Dr Adham berkata kuarantin 10 hari yang diwajibkan bagi pengembara yang tiba ke negara ini masih mampu mengesan kes positif daripada dua varian berkenaan.

Ini kerana jelas beliau, tiga hari sebelum pengembara berkenaan berlepas ke negara ini mereka perlu menjalani ujian swab Covid-19 dan keputusan berkenaan perlu disahkan oleh pihak berkuasa.

“Setakat ini masih dapat mengesan kes positif iaitu gejala hanya timbul pada hari ke 10,” katanya.

Diminta mengulas mengenai permintaan Kerajaan Sarawak untuk membekalkan negeri berkenaan dengan vaksin Covid-19 dos tunggal CanSino buatan China, Dr Adham berkata kementeriannya bersedia bekerjasama bagi tujuan berkenaan.

Tambah Dr Adham vaksin berdos tunggal berkenaan sesuai digunakan terhadap penduduk yang tinggal di pedalaman yang sukar untuk hadir ke temu janji kedua bagi suntikan vaksin.

Semalam, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak telah membuat permohonan agar kira-kira 800,000 dos vaksin CanSino dibekalkan kepada negeri berkenaan bagi kegunaan penduduk di pedalaman Sarawak semasa pertemuannya dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.

– BERNAMA

 


Pengarang :