AGENDANASIONAL

Ketua IPD Kuala Langat antara 23 lantikan baharu pegawai kanan polis

KUALA LUMPUR, 15 APRIL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengumumkan pertukaran dan kenaikan pangat 23 pegawai kanannya berkuat kuasa pada 17 Mei ini.

Menurut Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Bukit Aman Superintendan (Supt) Skandaguru Anandan antara yang terlibat ialah Pegawai Pemerintah Batalion 3 Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Bidor, Perak, Supt Rosman Kasman.

Beliau berkata jawatan baharu Rosman adalah timbalan komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), JKDNKA Bukit Aman dengan memangku pangkat asisten komisioner polis (ACP).

Selain itu, Pegawai Turus Pengurusan Dasar dan Sumber Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK), Perak, Supt Lam Chien Fei pula dilantik sebagai timbalan komandan (Latihan) Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur dengan memangku pangkat ACP.

Berikutan itu, Urus Setia KPN (Perhubungan Antarabangsa) Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Ahsmon Bajah dilantik sebagai ketua polis Daerah Kuching, Sarawak bagi menggantikan ACP Awang Din Awang Gani.

Awang Din pula dilantik sebagai timbalan ketua JPJKK (Perancangan Strategik) Johor.

Selain itu, Timbalan Komander Pasukan FRU, JKDNKA Bukit Aman ACP Noor Hisam Nordin pula dilantik menjadi ketua JPJKK Pahang dengan memangku pangkat senior assisten komisioner (SAC).

“Pertukaran lain turut melibatkan Pegawai Turus E4B Cawangan Khas Bukit Aman ACP Winston Tan Thye Wa yang dilantik sebagai ketua Cawangan Khas Pulau Pinang dengan memangku pangkat SAC.

“Jawatan Winston Tan akan digantikan Supt E4A1 Cawangan Khas Bukit Aman, Zulkifli Arin dengan memangku pangkat ACP”, katanya.

Skandaguru berkata pertukaran itu turut melibatkan Pegawai Turus Operasi Darat, JPJKK Sarawak, Supt Ang Seow Aun yang dilantik sebagai timbalan ketua Jabatan Siasatan Jenayah Siasatan/Perundangan, Sabah dengan memangku pangkat ACP.

Selain itu, Pegawai Turus (D9) Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah, Kuala Lumpur Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh dilantik sebagai ketua polis Daerah Kuala Langat, Selangor.

-BERNAMA


Pengarang :