Rodziah Ismail menyampaikan ucapan ketika sambutan hari wanita peringkat DUN Paya Jaras di Kelab Rahman Putra, Sungai Buloh pada 31 Mac 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOPILIHAN MINGGUANSELANGOR

Ketua kampung wanita bertambah, dulu lima kini 16

SUNGAI BULOH, 1 APRIL: Penglibatan wanita dalam pembangunan negeri ini terus diperkasa dengan pelantikan ketua kampung meningkat kepada 16 orang.

EXCO perumahan, kesejahteraan bandar dan pembangunan usahawan berkata pertambahan itu membuktikan Selangor sentiasa ke depan dengan tidak meletakkan gender sebagai syarat.

“Jika penggal lepas hanya lima kaum hawa dilantik tetapi kini ia mencecah 16. Kali ini juga berbeza jika sebelumnya dikatakan ketua kampung berumur namun ramai wanita ke depan menawar diri dengan penjawat termuda berusia 34 tahun,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Hari Wanita peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Jaras di Kelab Rahman Putra di sini semalam.

Menurutnya, jumlah berkenaan adalah daripada 371 ketua kampung dan tidak menolak kemungkinan ramai lagi golongan itu akan menggalas jawatan berkenaan pada masa akan datang.

Rodziah yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Selangor berkata pihaknya turut berbangga apabila wanita parti itu mengisi 37 daripada 122 ahli majlis di Selangor.

“Terima kasih kepada lelaki kerana meletak penghormatan ini dan tidak lagi berdebat mengenai kelayakan malah memberi laluan kepada wanita,” katanya.


Pengarang :