Poster dari Facebook Ng Sze Han
EXCOSELANGOR

Khidmat kaunseling percuma Kinrara bantu individu atasi tekanan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyediakan khidmat kaunseling secara percuma khusus untuk penduduk di kawasan sekitar.

Wakil rakyatnya Ng Sze Han berkata sesi tersebut diadakan pada Sabtu hingga Isnin mulai jam 10 pagi hingga 6 petang di Balai Masyarakat JKP Zon 16 Puchong.

Beliau menjelaskan program kendalian dua pakar meliputi kaunseling individu dan kumpulan, pengurusan tekanan dan emosi, kerjaya serta keluarga.

“Melalui waktu sukar? Jika anda dapati sukar untuk mengatasi tekanan, gelisah dan kemurungan, segera datang dan bercakap dengan kaunselor kami,” tulisnya di Facebook.

Sze Han menambah orang ramai yang ingin menyertai sesi kaunseling tersebut perlu membuat temu janji terlebih dahulu.

Tahun lalu, Kerajaan Negeri memperuntuk RM1 juta melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0 bagi menangani isu kesihatan mental menerusi kelas interaktif.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata isu tersebut antara fokus umum Kerajaan Selangor bagi membantu rakyat, terutama ketika berdepan pandemik Covid-19.

 


Pengarang :