Tukang masak yang juga pemilik gerai makan Warong Kulaan di Tongkang Pechah, Arbahai Abd Rashid, 63, menunjukkan nasi gaul yang merupakan makanan tradisi etnik Banjar yang dahulunya popular ketika kenduri. Tinjauan pada 2 April 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kian dilupakan, nasi gaul menu tradisi langka

BATU PAHAT, 4 APRIL: ‘Nasi gaul’, jika disebut, tidak ramai yang mengenalinya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan hidangan tradisional utama suku Banjar pada majlis keraian ini hampir “pupus” kerana hanya segelintir sahaja daripada masyarakat itu yang tahu dan mahir menyediakan nasi berkenaan.

Diperbuat daripada beras basmati yang dimasak dalam air rebusan daging atau ayam dan berlaukkan daging atau ayam rebus serta acar banjar, nasi gaul ini cukup popular dalam kalangan keturunan Banjar, khususnya di Johor dan Selangor, pada suatu ketika dahulu.

Seiring peredaran zaman, tempat nasi gaul pada majlis keramaian kini diambil alih oleh nasi beriani dan melihat keadaan itu, seorang pengusaha makanan berusaha mempopularkan kembali juadah berkenaan dengan menyediakan nasi gaul di warungnya, Warong Kulaan, di Tongkang Pechah di sini.

Arbahai Abd Rashid, 63, yang lebih dikenali sebagai Haji Bahai, berkata masyarakat memilih menghidangkan nasi beriani pada majlis keramaian kerana kepelbagaian lauk memandangkan nasi gaul hanya mempunyai dua jenis lauk iaitu daging atau ayam rebus serta kuah dalca,

“Dipanggil nasi gaul kerana nasi digaul dengan acar banjar yang diperbuat daripada hirisan timun, tomato, bawang, lada serta belacan yang dibakar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, dia hanya menyediakan hidangan itu dua kali sebulan iaitu pada Ahad minggu pertama dan ketiga.

Bagi menarik lebih ramai pelanggan, dia melakukan sedikit kelainan terhadap menu itu dengan menambah satu lagi lauk iaitu daging kambing.

Menurutnya menu nasi gaul yang dijualnya kini semakin mendapat sambutan.

Tinjauan Bernama di sekitar daerah ini mendapati warung itu satu-satunya gerai makan yang menyediakan masakan tradisional masyarakat Banjar tersebut.

Komuniti Banjar yang tinggal di daerah ini dikatakan berasal dari Banjarmasin, Kalimantan, Indonesia.

-BERNAMA

 


Pengarang :