Orang ramai menggunakan pelitup muka di tempat awam bagi mengawal penularan Covid-19 ketika tinjauan di sekitar Kuala Lumpur pada 3 Ogos 2020. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

KKM: Jangkitan baharu Covid-19 hampiri 3,000 kes hari ini

KUALA LUMPUR, 22 APRIL: Jumlah kes harian Covid-19 di negara ini semakin meningkat dan menghampiri 3,000, apabila 2,875 kes dilaporkan hari ini dengan Kelantan mencatatkan kes baharu tertinggi iaitu 662.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi Twitter rasminya memaklumkan, jumlah kumulatif kes kini 384,688, manakala tujuh lagi kematian direkodkan, menjadikan jumlah kematian akibat pandemik itu di Malaysia kini 1,407.

Sementara itu, 2,541 lagi kes sembuh dicatatkan, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini 22,014.

Selangor menjadi negeri kedua mencatatkan kes baharu tertinggi dengan 633 kes diikuti Sarawak (474) dan Kuala Lumpur (332), manakala Perlis tidak merekodkan kes baharu hari ini.

Sejumlah 169 kes direkodkan di Johor, diikuti Sabah (160), Pulau Pinang (144), Kedah (91), Negeri Sembilan (55), Perak (49), Melaka (42), Pahang (29), Terengganu (22), Putrajaya (10) dan Labuan (3).

Katanya sejumlah 248 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 115 daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu Dr Noor Hisham dalam kenyataan hari ini berkata, 13 kluster baharu dikenal pasti membabitkan lima kluster tempat kerja, empat kluster komuniti, tiga kluster sekolah atau institusi pendidikan Kementerian Pendidikan dan satu kluster keagamaan iaitu Kluster Kampung Bangkahulu di Negeri Sembilan.

Kluster tempat kerja ialah kluster Jalan Industri Mekanikal dan Jalan Skin di Johor, Jalan Semtec (Selangor), Kota Sawit (Sabah) dan Jalan Salahuddin (Kuala Lumpur), manakala bagi kluster komuniti ialah Jalan Raji (Selangor), Sungai Banus (Sarawak), Jalan Pokok Mangga (Melaka) dan Taman Changkat (Perak).

Dalam pada itu, kluster sekolah atau institusi pendidikan ialah Jalan Shah Banting (Selangor), Mengkebang (Kelantan) dan Dinamik (Kedah).

– BERNAMA


Pengarang :