Foto: Facebook Faisal Burger
AGENDANASIONAL

KKM nilai semula kes kompaun RM50,000 peniaga burger

SHAH ALAM, 27 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) menilai semula kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga burger atas kesalahan beroperasi melebihi had masa ditetapkan.

Menterinya berkata penilaian itu untuk mempertimbangkan sama ada pengurangan atau pengecualian boleh diberikan jika didapati ada asas munasabah, lapor Kosmo.

Datuk Seri Adham Baba menjelaskan Wan Mohd Faisal Wan Kadir diminta mengemukakan permohonan rayuan kompaun terbabit secepat mungkin.

“KKM amat prihatin dan memandang serius kes yang mendapat perhatian ramai ini.

“KKM melihat kes ini sebagai kes terkhusus yang perlu ditangani segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Adham menambah penguatkuasaan undang-undang dan kompaun itu bertujuan mendidik bukan menghukum semata-mata.

Katanya peluang sentiasa diberi kepada individu dikompaun untuk mendapat keadilan dan dibenar mengemukakan rayuan mengikut saluran disediakan.

Semalam, kisah seorang peniaga burger di Kampung Rambutan, Kelantan tular di media sosial selepas dikenakan kompaun RM50,000 kerana berniaga lebih masa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

 


Pengarang :