Selangorkini
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (kiri) ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia Putrajaya pada 13 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

KKM: Patuh SOP sepanjang Ramadan, ambil iktibar penyebaran Covid-19

SHAH ALAM, 12 APRIL: Sepanjang Ramadan ini masyarakat diseru tidak leka dan mengambil iktibar berhubung penyebaran jangkitan Covid-19 akibat aktiviti sosial seperti kunjung mengunjung serta rentas negeri.

Ketua pengarah kesihatan berkata semua harus berwaspada dan mengelak kawasan sesak serta sempit di samping bersembang dalam jarak dekat.

“Jangan keluar jika tiada keperluan penting. Elakkan hadir ke perhimpunan atau majlis berbuka puasa secara besar-besaran serta bersesak di bazar Ramadan.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khuatir aktiviti tidak terkawal seperti ini akan mengakibatkan peningkatan jangkitan Covid-19 dalam kalangan komuniti,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan.

Beliau turut menasihatkan orang awam untuk terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) aktiviti di masjid dan surau serta bazar Ramadan juga Aidilfitri.

“Kerjasama semua lapisan masyarakat amat diperlukan agar negara dapat melandaikan keluk pandemik ini.

“KKM mengucapkan selamat berpuasa. Semoga Ramadan ini dapat dijalani dengan penuh kesabaran, keikhlasan, ketakwaan dan mendapat keberkatan,” katanya.


Pengarang :