Petugas kesihatan menyediakan dos vaksin Covid-19 di Pusat Perubatan Sunway, Subang Jaya pada 12 Mac 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM: Vaksin awal jika derma darah lebih 50 kali

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertimbangkan cadangan untuk memberi keutamaan kepada penderma darah lebih 50 kali bagi fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata KKM akan membawa cadangan itu kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

“Ia cadangan yang baik dan sebagai insentif kepada penderma darah di Malaysia,” katanya pada sidang media selepas melawat Pusat Darah Negara (PDN) di sini hari ini.

Baru-baru ini, terdapat cadangan daripada penderma darah supaya mereka diberi keutamaan dalam pemberian vaksin Covid-19.

Sementara itu, Dr Adham berkata sebanyak 652,671 beg darah didermakan di seluruh negara pada tahun lepas, turun 12.3 peratus berbanding 2019 akibat pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Dr Adham berkata stok bekalan darah di seluruh negara masih mencukupi setakat ini.

Beliau berkata KKM sedang mengkaji keperluan untuk mengkomersialkan Sistem Pengurusan Bank Darah yang dibangunkan oleh PDN kepada pihak swasta dan ke luar negara.

Mengulas lanjut, beliau berkata sistem tersebut meliputi data penderma darah dan pelbagai aspek bekalan stok darah termasuk keperluan kumpulan darah, pendaftaran penderma dan kakitangan PDN.

Selain itu, beliau berkata PDN akan melanjutkan operasinya sehingga malam menjelang Ramadan supaya dapat memproses darah yang diderma dan sepanjang bulan puasa bagi penderma darah khususnya umat Islam menderma darah selepas berbuka puasa.

Penganjur kempen derma darah juga, katanya masih boleh terus menganjurkan kempen pada bulan Ramadan yang bermula minggu hadapan kerana bekalan darah dijangka berkurangan.

-BERNAMA


Pengarang :