Anggota penguat kuasa KPDNHEP Selangor cawangan Gombak memeriksa bekalan dan harga barangan keperluan asas serta pematuhan Akta 342 SOP PKPB di sekitar Pasar Awam Bandar Country Home dan Saujana Rawang pada 18 April 2021. Foto Facebook KPDNHEP Selangor
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

KPDNHEP Selangor periksa 156 premis, tiada aduan harga jualan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 bermula semalam tidak mengesan sebarang kesalahan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor berkata pemeriksaan membabitkan 156 premis mendapati peniaga mematuhi harga kawalan.

“Pemeriksaan dibuat terhadap pemborong dan peruncit. Kami tidak menerima sebarang aduan pada hari pertama skim ini dilaksanakan,” kata Pengarahnya Muhamad Zikril Azan Abdullah dalam kenyataan.

Beliau menasihatkan peniaga supaya terus mematuhi harga jualan dan tidak mengambil kesempatan dengan mengaut keuntungan bagi mengelakkan penalti berat.

Jelasnya, peniaga perlu beretika dalam perniagaan manakala pengguna harus tahu tanggungjawab dan tidak membuat pembelian berlebihan.

“Pengeluar, pemborong dan peruncit juga diminta tidak menaikkan harga secara mendadak selepas skim ini berakhir,” katanya lagi.

SHMMP 2021 mulai semalam hingga 20 Mei menetapkan 12 jenis barangan antaranya ayam, telur ayam, daging dan hasil laut seperti ikan tongkol, kembung dan mabung.

Langkah tersebut bagi menyekat kenaikan harga barang keperluan ketika Ramadan dan menjelang Aidilfitri.

 


Pengarang :