Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menasihati pengguna tidak melakukan pembelian panik telur sehingga mengganggu bekalan di negara ini, susulan laporan penarikan balik telur keluaran sebuah syarikat Malaysia daripada pasaran Singapura. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

KPDNHEP tidak tergesa-gesa sambung eksport telur ke Singapura

KUCHING, 3 APRIL: Kerajaan tidak mahu tergesa-gesa untuk kembali mengeksport telur ayam ke Singapura sebelum memastikan produk itu betul-betul selamat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Katanya, perkara pertama yang perlu dipastikan sebelum mengeksport ialah tiada lagi bakteria Salmonella Enteritidis (SE) dikesan pada produk tersebut.

“Kami akan berhubung dengan pihak Singapura (untuk tindakan selanjutnya) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV),” katanya pada sidang media selepas menghadiri program Malaysia Prihatin hari ini.

Dilaporkan baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura (SFA) mengarahkan beberapa pengimport untuk menarik balik telur dari Linggi Agriculture di Malaysia (CEM 014) selepas mengesan adanya SE dalam produk terbabit.

Terbaru, JPV dalam kenyataan semalam memaklumkan tiada bakteria SE dikesan di ladang ayam penelur CEM 014 Linggi Agriculture Farm, selepas ujian dijalankan ke atas sampel calitan kloaka, calitan najis, sampel telur, makanan dan air minuman yang diambil dari ladang ayam penelur tersebut.

Pencemaran SE boleh berlaku di peringkat ladang disebabkan amalan penternakan kurang baik, aspek biosekuriti dan kebersihan ladang atau di sepanjang rantaian pemasaran disebabkan pengendalian telur kurang bersih.

-BERNAMA


Pengarang :