Mohd Khairuddin Othman (dua dari kanan) merasmikan Majlis Penyerahan Kereta Bomba kepada Pasukan Bomba Sukarela Saujana Utama di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh pada 9 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

KPKT disaran kaji sumbangan bomba sukarela – EXCO

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian perumahan dan kerajaan tempatan (KPKT) diminta menilai kebajikan ahli Pasukan Bomba Sukarela (PBS) yang berkhidmat kepada masyarakat tanpa bayaran.

EXCO modal insan berkata anggota pasukan itu tetap bergerak aktif membantu orang awam walaupun tidak menerima gaji tetap.

“Mereka gunakan wang sendiri dalam menyumbang tenaga kepada masyarakat. Jadi kita minta KPKT bantu PBS menggunakan skim kerajaan,” kata Mohd Khairuddin Othman.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis serahan jentera bomba (FRT) bernilai RM160,000 dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd kepada PBS Saujana Utama malam tadi.

Mohd Khairuddin meminta agensi atau anak syarikat lain membantu mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti kebajikan kepada masyarakat.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata sumbangan berkenaan memudahkan urusan anggota PBS Saujana Utama.

“Sekarang bomba bukan hanya padam kebakaran tetapi terbabit dalam operasi kecemasan lain seperti tanah runtuh, banjir kilat.

“Jadi sumbangan ini sangat membantu anggota dan memudahkan operasi selain menaikkan semangat mereka ketika bertugas,” katanya.


Pengarang :