Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika Majlis Lawatan dan Penyerahan Kunci Rumah Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Kampung Baru Pasir Penambang, Kuala Selangor pada 23 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

KPM diminta keluarkan garis panduan tutup sekolah

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Kerajaan Negeri meminta Kementerian Pendidikan mengeluarkan garis panduan penutupan sekolah sekiranya berlaku perebakan Covid-19 dalam kalangan guru dan murid.

Dato’ Menteri Besar berkata tatacara itu penting bagi memudahkan pentadbir sekolah menyelaraskan tindakan susulan peningkatan kes melibatkan kluster pendidikan.

“Jawatankuasa khas bagi pengawalan perebakan kes melibatkan sekolah di Selangor sedang menunggu arahan terbaharu Kementerian Pendidikan.

“Kita hendak tahu adakah satu kes sekolah sudah kena tutup atau tunggu 400 kes baru tutup, itu garis panduan yang kita tunggu,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Kunci Bantuan Bina Rumah di Kampung Baru Pasir Penambang di sini hari ini.

Amirudin berkata jawatankuasa dianggotai Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Unit Bencana sedang mengenal pasti kawasan berisiko tinggi mencetuskan perebakan Covid-19 dalam komuniti.

“Kita sedang kumpul data guru, pelajar dan ibu bapa terlibat, Insya-Allah saringan bersasar segera dilaksanakan,” katanya.

Terkini, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa esok sehingga 7 Mei susulan kenaikan kes dalam kalangan pelajar.

Sebelum ini, sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai Isnin bagi mengekang perebakan Covid-19.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma untuk membendung wabak.


Pengarang :