Pengusaha ayam tin Zulkifle Che Abdullah, 58, menunjukkan ayam tin yang telah masak ketika ditemui di kedai miliknya di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini. Foto BERNAMA
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Laris dalam tempoh sejam, ayam tin menu istimewa Ramadan

KOTA BHARU, 19 APRIL: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Itulah ungkapan yang sesuai bagi pengusaha ayam tin yang mencuba nasib berniaga juadah ayam tin menggunakan resepi tersendiri, yang kini laris dijual dalam tempoh hanya satu jam.

Pengusaha ayam tin, Zulkifle Che Abdullah, 58, berkata ayam yang dilumur menggunakan resepi yang diolah sendiri dengan pelbagai rempah ratus itu menjadi ‘lubuk rezeki’ baginya sejak lima tahun lalu setiap kali tiba bulan Ramadan.

“Hasrat untuk berniaga ayam bakar ini timbul apabila saya pernah membeli ayam bakar beberapa tahun sebelum ini, namun ia tidak menepati cita rasa saya sekeluarga sekali gus menyebabkan saya mencuba menghasilkan ayam bakar menggunakan resipi sendiri dan ternyata usaha itu kini berbaloi.

“Penggunaan tin itu pula dipilih memandangkan ia akan menjadikannya seakan ketuhar dan arang yang digunakan di bahagian luar tin tersebut sekali gus dapat mengekalkan kelembapan ayam sepanjang dibakar,” katanya ketika ditemui Bernama di kedai ayam tin miliknya di Pengkalan Chepa di sini.

Bercerita lanjut, Zulkifle yang dibantu oleh dua anaknya Muhamad Al-Hafiz, 27, dan Muhamad Al-Hakim, 19, itu berkata sebanyak 10 tin yang diperoleh daripada pembekal digunakan bagi menyediakan juadah berkonsepkan bakar itu.

Zulkifle berkata proses membakar ayam di dalam tin mengambil masa sehingga dua jam bagi memastikan keseluruhan bahagian ayam dapat dimasak dengan sekata.

Pengusaha ayam tin Zulkifle Che Abdullah, 58, memastikan ayam tin dimasak dengan sempurna sebelum dijual kepada pelanggan ketika tinajuan di kedai miliknya di Pengkalan Chepa, Kelantan baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Setelah diperap menggunakan rempah ratus selama tiga jam, ayam akan dicucuk dibesi dan diikat menggunakan dawai untuk mengekalkan kelembapan ayam.

“Kemudian ia ditekup menggunakan tin untuk dibakar menggunakan arang yang diletakkan di sekeliling tin itu bagi menghasilkan ayam yang lembut lagi ‘juicy’ dan memberikan rasa seakan cair di mulut,” katanya.

Bapa kepada lima orang anak itu berkata, setiap hari beliau hanya mengehadkan menjual 20 ekor ayam sahaja bagi memastikan kualiti ayam dan rasa dapat dijaga.

“Saya membakar ayam menggunakan sekitar 25 kilogram (kg) arang setiap hari dan ia dijual pada harga RM26 hingga RM28 ringgit seekor bergantung kepada saiz. Walaupun sejak Ramadan ini harga ayam semakin meningkat namun saya masih tetap mengekalkan jualan pada harga seperti sediakala.

“Selain itu, bagi menjamin kesegaran ayam yang dijual saya tidak menggunakan ayam beku, sebaliknya memilih ayam segar yang disembelih pada waktu pagi dan terus dibakar untuk dinikmati pelanggan pada waktu berbuka.

“Pelanggan boleh mendapatkan ayam bakar tin itu bermula jam 4 petang dan disarankan untuk menempah sehari sebelum untuk mengelakkan kehabisan,” katanya.

Seorang pelanggan tetap Muhamad Zarith Irshadduiddin Abdul Syahid, 19 berkata, ayam tin yang dijual Zulkifle itu sudah menjadi antara juadah yang termasuk dalam senarai impiannya setiap kali tiba bulan Ramadan.

“Ayam yang dihasilkan sememangnya mempunyai rasa yang unik dan tiada tandingannya jika dibandingkan dengan ayam bakar yang dijual di tempat lain,” katanya yang menjadi pelanggan tetap sejak dua tahun lalu.

-BERNAMA


Pengarang :