Rodziah Ismail berucap ketika Majlis Jelajah dan Iftar Hijrah Selangor di Kelab Shah Alam pada 19 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Lebih 3,000 pemandu teksi, bas sekolah terima bantuan makanan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Lebih 3,000 pemandu teksi dan bas sekolah sudah menerima manfaat bantuan bakul makanan daripada Kerajaan Selangor.

EXCO pembangunan usahawan berkata sumbangan masih diteruskan ke beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengikut kesesuaian masa.

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan lebih ramai antara mereka mendaftar supaya bantuan ini sampai sekali gus meringankan beban ketika berdepan situasi wabak Covid-19,” kata Rodziah Ismail.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini pada Majlis Iftar Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dan memperkenalkan Pengarah Eksekutif Hijrah baharu di Kelab Shah Alam di sini, semalam.

Bagaimanapun, beliau turut menggesa penerima bantuan tersebut tidak hanya bergantung kepada pemberian Kerajaan Selangor sebaliknya perlu terlibat dengan program keusahawanan.

“Kita juga bercadang untuk menawarkan beberapa program khusus untuk membantu peniaga kecil ini menjana pendapatan tambahan sebagai penghantar makanan,” katanya.

Menerusi Pakej Kita Selangor diumum pada 20 Januari, sebanyak RM4.35 juta disediakan bagi menjayakan program Bakul Makanan untuk membantu golongan terjejas akibat wabak Covid-19.

Bantuan itu diberi kepada pemandu teksi dan bas, petugas barisan hadapan, penyewa PPR, warga tani dan pemandu lori KDEB Waste Management.

Fasa pertama agihan meliputi individu sekitar Majlis Perbandaran Selayang, Majlis Perbandaran Kajang, Majlis Perbandaran Klang dan Majlis Perbandaran Kuala Langat.

Ia diikuti Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Majlis Daerah Sabak Bernam dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Fasa kedua membabitkan Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Daerah Hulu Selangor.


Pengarang :