Abdul Basith Hamid (empat, kiri) bergambar bersama penerima ketika program bantuan Ramadan dan Aidilfitri di Dewan Serbaguna MPSJ, Puchong pada 12 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Lebih 60,000 asnaf dapat bantuan sempena Ramadan, Syawal

PUCHONG, 12 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihkan bantuan berjumlah RM28 juta kepada 61,315 asnaf seluruh negeri sempena Ramadan dan Syawal tahun ini.

Sebanyak RM18.07 juta disalur kepada 39,445 asnaf miskin, RM8.66 juta untuk 17,787 asnaf fakir manakala baki kepada 4,083 asnaf mualaf.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Abdul Basith Hamid berkata tiga daerah mencatat bilangan penerima tertinggi iaitu Klang, Petaling dan Hulu Langat.

“Setiap tahun ketiga-tiga daerah ini merekod jumlah penerima tertinggi berikutan banyak syarikat kerajaan dan swasta beroperasi di situ selain faktor miskin bandar,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyerahkan bantuan tersebut kepada 10 penerima bersama Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong di sini hari ini.

Timbalan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir (tengah) menyampaikan bantuan Ramadan dan Aidilfitri kepada salah seorang penerima di Dewan Serbaguna MPSJ, Puchong pada 12 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Abdul Basith menjelaskan setiap individu menerima bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan masing-masing.

Menurutnya, bayaran melalui kaedah baucar tunai dikredit ke akaun penerima atau ketua keluarga yang boleh dikeluarkan di mana-mana cawangan Bank Islam.

“Semoga bantuan ini memberi keceriaan dalam menyambut Ramadan dan Syawal. Inilah keberkatan berzakat, yang berada membantu golongan miskin sekali gus membersihkan harta,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima Maimunah Pawan Che, 67, bersyukur atas bantuan untuk meringankan beban keluarganya terutama ketika mendepani wabak Covid-19.

“Ini kali pertama saya terpilih mendapat bantuan LZS. Saya sangat berterima kasih kepada LZS kerana prihatin terhadap golongan susah, lebih-lebih lagi saya yang memiliki ahli keluarga ramai.

“Dalam keluarga saya hanya menantu yang bekerja manakala suami sudah pencen, justeru bantuan seperti ini amat bermakna buat kami,” katanya yang menetap di Shah Alam.

 


Pengarang :