AGENDANASIONAL

Lelaki cekik pekerja kedai tegur tidak pakai pelitup muka ditahan

SEREMBAN, 19 APRIL: Berang kerana ditegur tidak memakai pelitup muka, seorang lelaki bertindak mengugut dan mencederakan pekerja di sebuah kedai runcit di Senawang di Seremban semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohd Said Ibrahim berkata dalam kejadian kira-kira 9.20 pagi itu suspek mengugut dan mencekik pekerja lelaki berusia 22 tahun selepas ditegur tidak memakai pelitup muka selain tidak menjalani saringan suhu badan dan menulis nama di buku yang telah disediakan.

“Susulan kejadian itu, suspek yang ditahan di Senawang pada 10 malam ini untuk siasatan lanjut turut dikenakan kompaun atas ketidakpatuhan tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 di bawah Akta 342,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Katanya, permohonan reman akan dibuat ke atas suspek di Mahkamah Seremban esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 atau 323 Kanun Keseksaan.

Hari ini, tular sebuah video berdurasi satu minit 16 saat di laman Facebook yang memaparkan seorang individu tidak memakai pelitup muka mencekik seorang lelaki di sebuah kedai.

-BERNAMA


Pengarang :