Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud pada sidang media program Rekalibrasi Tenaga Kerja di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Putrajaya pada 4 Disember 2020. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Lelaki Pakistan antara tiga individu dalang agen program rekalibrasi ditahan

KUALA LUMPUR, 23 APRIL: Tiga individu termasuk seorang lelaki warga Pakistan yang disyaki dalang sindiket agen Program Rekalibrasi, ditahan dalam serbuan di dua premis di Jalan Ipoh, di sini, Rabu lalu.

Operasi yang dijalankan pada 4.30 petang merupakan susulan daripada ‘Operasi Hack’, yang dijalankan bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 6 April lepas.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi itu bertujuan bagi mengesan saki-baki syarikat yang menggunakan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’ Sistem Imigresen Malaysia (MyIMMs)’, yang didalangi seorang individu bergelar Datuk yang telah ditahan.

“Dalam operasi ini, seorang lelaki warga Pakistan berumur 39 tahun yang merupakan dalang sindiket telah ditahan. Turut ditahan seorang lelaki dan seorang perempuan warganegara Malaysia berumur 24 dan 20 tahun, kerana bekerjasama dan melindungi lelaki Pakistan itu.

“Pemeriksaan awal turut mendapati lelaki Pakistan berkenaan menggunakan PLKS palsu yang dikeluarkan secara tidak teratur,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata sebanyak 81 pasport negara Pakistan, Bangladesh dan Vietnam serta wang tunai berjumlah RM15,950, telah dirampas hasil pemeriksaan di premis sindiket beroperasi.

“Hasil siasatan mendapati, premis berkenaan dijadikan sebagai pusat mengumpul pasport daripada warga asing, yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen untuk didaftarkan dalam Program Rekalibrasi Tenaga Kerja, dengan bayaran di antara RM2,000 ke RM3,000 seorang,” katanya.

Khairul Dzaimee berkata, berdasarkan jumlah pasport dan tempoh beroperasi dipercayai sejak tahun lepas, sindiket tersebut dianggarkan telah membuat kutipan dalam lingkungan RM243,000.

“Modus operandi sindiket ini adalah lelaki Pakistan itu mendapatkan pelanggan dari kalangan warganegara Pakistan, terutama mereka yang melakukan kesalahan di bawah Akta dan Peraturan Imigresen dan ditawarkan untuk menyertai Program Rekalibrasi.

“Semakan awal ke atas pasport yang dirampas di tempat kejadian turut menemui pelekat PLKS yang dikeluarkan oleh sindiket ‘ID Hack’, yang ditumpaskan sebelum ini (pada 6 April lalu),” katanya.

Menurutnya, kesemua tahanan di bawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut.

Beliau juga menasihatkan orang ramai terutamanya warga asing dan majikan supaya berurusan terus dengan imigresen, dan tidak menggunakan orang tengah atau agen dalam urusan Program Rekalibrasi.

– BERNAMA


Pengarang :