Abdul Basith Hamid (empat, kiri) bergambar bersama penerima ketika program bantuan Ramadan dan Aidilfitri di Dewan Serbaguna MPSJ, Puchong pada 12 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

LZS lantik 2,800 penolong amil kutip zakat fitrah

PUCHONG, 13 APRIL: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melantik seramai 2,800 penolong amil bagi melaksanakan kutipan zakat fitrah seluruh negeri.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf Abdul Basith Hamid berkata mereka ditempatkan di 450 masjid dan surau.

“Ramadan tidak hadir tanpa ibadah zakat fitrah, justeru semua umat Islam wajib menunaikannya selagi mengikut syarat,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ramadan dan Aidilfitri LZS 2021 di Dewan Serbaguna MPSJ Puchong semalam.

Sementara itu, Abdul Basith berkata kadar zakat fitrah di negeri ini kekal RM7, RM14 dan RM21 seorang seperti tahun sebelumnya selaras Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor.

Beliau bagaimanapun berkata golongan berkemampuan digalak menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras dimakan setiap hari bagi diri dan tanggungan.

“Kadar tersebut adalah sebanyak RM14 seorang bagi individu yang memakan beras putih import/beras perang/beras pulut/herba ponni/beras wangi atau RM21 seorang bagi individu memakan beras basmathi/beras jepun/beras merah,” katanya.


Pengarang :