BERITA UTAMAPERSONALITIRENCANA

Magis resipi kuih kapit, usahawan eksport ke China, Australia

Foto FIKRI YUSOF

DULU hendak beli ais krim berharga seringgit pun habis satu rumah digeledah untuk mencari sisa duit syiling demi memuaskan keinginan anaknya.

Shafinaz Ainaa Muslim, 36, tidak mahu peristiwa itu berulang. Beliau berusaha membaiki kehidupan, berjalan kaki dari rumah ke rumah untuk menjual kerepek pisang.

Bahang terik matahari telah lali dilaluinya. Disangka pendatang Indonesia juga pernah dirasai ibu empat anak itu. Perasaan malu sudah lama dibuangnya jauh-jauh.

Pintu rumah sekitar Ijok, Kuala Selangor diketuk satu persatu. Selesai satu kampung, ke kampung sebelah pula. Badan penat kakinya lenguh. Namun, beliau puas jualannya laris. Belum tiga jam semuanya habis.

Namun, untungnya tidak seberapa. Kerepek dibeli secara borong, bukannya dibuatnya sendiri. Selepas kira-kira setahun, Shafinaz Ainaa mula menggunakan resipi kuih kapit daripada mentua.

Jualan itu mula mendapat sambutan hangat. Beliau mengubah suai resipi mengikut selera anak muda. Produk juga dipelbagai sejak 2015.

Beliau tidak lagi berjalan kaki rumah ke rumah sebaliknya mengeksport kuih kapit ke China, Thailand dan Australia. Kecekalan itu menobatkan Shafinaz untuk menerima anugerah Usahawan Sukses Hijrah Selangor.

Makanan ringan

Menjelang sambutan Aidilfitri pada 2015, Shafinaz berniaga kuih kapit. Sambutannya luar biasa. Namun, jualan kembali suram selepas perayaan. Beliau kembali berniaga kerepek pisang rumah ke rumah.

Lama kelamaan, timbul idea menjadikan kuih kapit makanan ringan sepanjang masa, bukan takat juadah raya sahaja. Shafinaz mula mengubah suai resipi mentuanya.

“Saya terfikir saya mesti ada produk keluaran sendiri lain daripada lain yang boleh mendapat pulangan lebih baik,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Berbekal RM3,000, Shafinaz memulakan perusahaan kecil di Batu Dua, Pasir Penambang. Beliau memperoleh modal itu dari simpanan suami dan bantuan ibu mentua.

Pada 2016, lahirlah kuih kapit pelbagai perisa seperti coklat, kacang, kuaci, coklat kacang tabur dan mentega kacang bersama kacang tabur keluaran Haq Rich Enterprise, syarikat miliknya.

Ternyata, strategi beliau berhasil. Kuih kapit jenama Mabeles mendapat sambutan. Produknya juga mula dipasar dalam talian.

Shafinaz kemudian menaik taraf bengkelnya menjadi kilang yang memiliki pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Bukan mudah, banyak pembaikan perlu dibuat.

Kerja menaik taraf dibuat sedikit demi sedikit selama tujuh bulan demi memenuhi piawaian. Shafinaz bernasib baik diperkenal dengan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor).

“Kali pertama saya mendapat pinjaman Hijrah berjumlah RM5,000 pada tahun 2016 untuk menaik taraf jalan. Kali kedua pada tahun lalu sebanyak RM50,000 untuk menambah modal pusingan,” katanya.

Shafinaz menganggap Hijrah banyak mendidiknya dalam aspek disiplin kewangan, selain membantu memajukan perniagaannya.

Melalui 30 ejen di Selangor, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan, produk keluaran syarikatnya ditempatkan ke stesen Petronas dan pasar raya Aeon. Kuih itu juga menembusi pasaran China, Thailand dan Australia.

Eksport terkandas

Namun, bukan semuanya indah belaka dalam perniagaan. Saat dilambung kejayaan, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu menguji kestabilan perniagaannya.

Shafinaz menanggung kerugian lebih RM8,000 apabila kuih kapit yang dieksport ke China terkandas terlalu lama di pelabuhan mengakibatkan 6,400 bungkus rosak.

Ia tidak melunturkan semangatnya. Kerugian itu ditampung keuntungan jualan dalam pasaran tempatan melalui dalam talian, pasar raya Aeon, rangkaian stesen Petronas dan jualan terus di Ratu Kapit Station.

Kini, jualan kuih kapit Mabeles mampu mencecah RM30,000 sebulan dan sasaran ditingkatkan kepada RM60,000.

“Insya-Allah dengan usaha semua pihak, saya yakin mampu mencapai sasaran tersebut, lebih-lebih lagi lebih kurang dua bulan sahaja lagi menjelang raya,” katanya.


Pengarang :