Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof (kiri) memasukkan derma sebagai simbolik pelancaran kempen sedekah Tabung Amanah Anak Yatim Negeri Selangor 2021 di Hotel Acapella Suite, Shah Alam pada 1 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Mais pelawa orang ramai sedekah, bantu anak yatim

SHAH ALAM, 20 APRIL: Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mempelawa orang ramai bersedekah ke Tabung Amanah Anak Yatim sepanjang Ramadan ini.

Setiausahanya, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata sumbangan untuk menambah dana bagi menjalankan program sosial selain penjagaan kebajikan anak yatim.

“Setakat ini lebih 8,000 anak yatim berdaftar di Yayasan Islam Darul Ehsan. Badan korporat turut diseru membantu kebajikan anak yatim ini sebagai tanggungjawab sosial bersama.

“Antara program dilaksanakan adalah sumbangan hari raya, bantuan persekolahan, majlis khatan, kem motivasi serta riadah santai,” katanya menerusi kenyataaan hari ini.

Jelas Ahmad Shahir, setiap tahun Baitulmal Mais membelanjakan RM500,000 bagi menyantuni anak yatim negeri ini termasuk kos pengurusan rumah kebajikan.

“Justeru, orang ramai yang mahu bersedekah boleh menggunakan transaksi secara dalam talian di http://fpx.mais.gov.my/epay/say.php.

“Sedekah ini akan mendapat pengecualian cukai di bawah Subseksyen 44 (6), Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya.

Pada 1 April lalu, Mais melancarkan kempen Jom Sedekah bagi membantu kebajikan anak yatim negeri ini dengan menyasar kutipan RM4 juta sepanjang Ramadan.


Pengarang :