Seorang peniaga gembira menyediakan juadah yang dijual menerusi e-bazar Ramadan. Foto Facebook CSR MBI
AGENSISELANGOR

Mais seru orang ramai sokong peniaga kecil ketika Ramadan

SHAH ALAM, 6 APRIL: Orang ramai diseru menyokong perniagaan kecil dalam komuniti pada bulan Ramadan untuk membantu sektor itu yang terjejas akibat penularan Covid-19.

Majlis Agama Islam Selangor (Mais) berkata ada segelintir rakyat berdepan masalah perniagaan yang merosot dan lebih buruk lagi terpaksa menutup operasi mereka.

“Nak keluar makan bersama keluarga di bulan Ramadan? Cuba cari restoran yang diusahakan oleh warga komuniti kita.

“Kalau tahu ada kawan-kawan atau jiran yang menjual juadah berbuka, beli daripada mereka setidak-tidaknya seminggu sekali,” tulisnya menerusi Facebook.

Mais juga berkongsi amalan mulia lain yang boleh diamalkan pada bulan Ramadan iaitu membayar zakat fitrah dan bersedekah.

“Masak lebih sedikit dan sedekahkan kepada jiran di kawasan anda atau membeli juadah berbuka di bazar Ramadan untuk jiran anda,” katanya.


Pengarang :