Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama beberapa agamawan yang mengumumkan penyertaan dalam KEADILAN dalam sidang media di Negeri Sembilan pada 12 April 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

Mantan hakim syarie, bekas pemimpin PAS masuk KEADILAN

SHAH ALAM, 14 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengumumkan penyertaan 15 individu termasuk bekas hakim mahkamah syariah dan bekas pemimpin PAS ke dalam parti itu.

Mereka antaranya bekas Ketua Hakim Syarie Datuk Baharum Hasbullah, bekas wakil rakyat Dusun Tua Razaly Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan individu berpengalaman dalam pelbagai lapangan memberi semangat baharu kepada parti itu.

“Saya optimis dan percaya ia juga bakal mengisi dan menambah baik semangat memungkinkan islah serta membuktikan KEADILAN sebagai wadah untuk semua iaitu profesional, seniman dan agamawan.

“Saya percaya penyertaan mereka ini bukan yang terakhir dan insya-Allah akan ada lagi yang akan menyertai KEADILAN selepas ini,” tulisnya di Facebook.

Beberapa orang pendakwah, bekas guru agama, bekas imam dan pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia turut diumum menyertai parti itu dalam sidang media di Negeri Sembilan.

KEADILAN sebelum ini mengumumkan penyertaan dua selebriti iaitu penyanyi rap terkenal Altimet dan pelakon yang juga pengarah Datuk Afdlin Shauki.


Pengarang :