AGENSISELANGOR

Maqis rampas 100kg kayu gaharu dari Vietnam

SEPANG, 15 APRIL: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas 100 kilogram (kg) kayu gaharu diimport dari Vietnam bernilai RM14,821, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Selasa lepas kerana tidak mempunyai permit import yang sah.

Pemangku Pengarah Maqis Selangor Zamri Hashim berkata pemeriksaan terhadap kayu gaharu atau nama saintifiknya Aquilaria Crassna di kawasan pemeriksaan Maqis Kargo KLIA pada kira-kira 3 petang mendapati dagangan pertanian itu tidak mempunyai permit import yang dikeluarkan oleh Maqis.

“Dagangan tersebut disita untuk tindakan selanjutnya. Perbuatan mengimport hasilan pertanian tanpa permit import yang sah adalah menjadi suatu kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zamri berkata dagangan tersebut disiasat di bawah Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728), yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis akan sentiasa teliti dan cekap dalam memperketatkan kawalan di pintu masuk negara bagi mengelakkan kemasukan dagangan yang diimport bersama penyakit dan perosak yang boleh menjejaskan industri negara,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :