ADNSELANGOR

Masjid, surau Subang Jaya terima RM27,000 sempena Ramadan

SHAH ALAM, 18 APRIL: Sebanyak RM27,000 disumbangkan kepada enam masjid dan 15 surau di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya sempena Ramadan ini.

Ahli Dewan Negerinya berkata daripada jumlah itu setiap masjid menerima RM2,000 manakala surau RM1,000.

“Bantuan tersebut bertujuan menyokong usaha semua rumah ibadat untuk menjalankan majlis berbuka puasa sepanjang Ramadan,” kata Michelle Ng Mei Sze dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun tidak dapat turut serta dalam majlis ibadah berkenaan kali ini namun pihaknya berbesar hati dapat bersama ahli jawatankuasa masjid dan surau ketika penyampaian sumbangan itu.

Katanya, kesempatan juga diambil  dengan kerjasama pengurusan rumah ibadat membantu dalam pendaftaran program vaksinasi Covid-19 dan menjawab persoalan mengenainya serta agama.

“Saya berharap agar semua masjid dan surau memastikan kariah mereka mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) memandangkan jumlah kes harian semakin meningkat. Ini adalah untuk memastikan agar kesihatan dan keselamatan semua muslimin dan muslimat terjaga,” katanya.

Majlis penyampaian sumbangan Ramadan itu dihadiri ahli majlis Majlis Bandaraya Subang Jaya, Chia Yew Ken (Zon 1), Mohamad Syafiq Mohamad Norizan (Zon 2) serta wakil Zon 3 dan 4.


Pengarang :