Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) ketika gimik pelancaran di majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor e-Dapur dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves pada 11 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: E-dapur diteruskan, bantu peniaga jana pendapatan

SELAYANG, 11 APRIL: Kerajaan Selangor menyasarkan lebih ramai peniaga menyertai program e-Dapur seiring perkembangan era pendigitalan.

Dato’ Menteri Besar berkata program menerusi Platform Selangor (Plats 2.0) itu tidak hanya berjalan ketika Ramadan sebaliknya setiap masa bagi membantu peniaga menjana pendapatan.

“Kita akan libatkan kedai makan, restoran serta peniaga tepi jalan untuk berniaga dalam talian. Inilah cara hidup baharu lepas pandemik ini.

“Setakat ini 300 peniaga sudah mendaftar. Tahun lalu kita ada 14,000 peniaga berlesen jadi kita harap mereka akan ambil peluang ini untuk pasarkan produk dan jualan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada sidang media selepas melancarkan PLATS 2.0.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari melawat gerai penjaja ketika majlis Pelancaran Platform Selangor (PLATS) 2.0 Selangor e-Dapur dan e-Pembekalan Peruncit Mikro dan Kecil di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Batu Caves pada 11 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Menurut Amirudin, e-Dapur akan meneruskan kerjasama dengan Grab Express selain bantuan dari Rantaian e-Bekalan Digital Selangor (Seldec) supaya urusan berjalan lancar.

“Tahun lalu kita sediakan tempat seperti dewan untuk peniaga tetapi tahun ini pihak berkuasa tempatan (PBT) akan siapkan (lokasi).

“Majlis akan bantu peniaga supaya produk dan jualan peniaga dapat dibekalkan kepada orang awam,” katanya.

E-Dapur diperkenalkan April tahun lalu bagi membantu usahawan meneruskan perniagaan dalam talian berikutan operasi bazar Ramadan tidak dibenarkan.

Langkah itu berjaya membantu 160 usahawan dengan jumlah jualan mencecah RM1.5 juta.


Pengarang :