Petugas kesihatan membuat ujian calitan kepada peserta Saringan Komuniti secara percuma di Dewan Serbaguna MPAJ, Ampang pada 28 Mac 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
SELANGOR

MB galak orang ramai hadir Saringan Komuniti di Kajang Sabtu ini

SHAH ALAM, 7 APRIL: Penduduk sekitar Taman Setia, Kajang digalak hadir Saringan Komuniti percuma anjuran Kerajaan Selangor pada Sabtu ini.

Dato’ Menteri Besar berkata program itu diadakan di gelanggang bola keranjang Taman Setia, Kajang mulai jam 9 pagi hingga 4 petang.

“Penduduk Kampung Sungai Chua, Kampung Baru Sungai Chua, Desa Kekwa, Taman Setia, Taman Berjaya, Pusat Perindustrian Sungai Chua dan Taman Kajang Raya digalakkan hadir pada hari berkenaan,” maklum Dato’ Seri Amirudin Shari di facebook.

Orang ramai boleh mendaftar melalui aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) dan guna fungsi saringan atau layari screening.selangkah.my.

Kerajaan Negeri memperuntuk RM6 juta bagi meneruskan Saringan Komuniti Covid-19 secara percuma di seluruh negeri untuk membendung wabak.

Program yang menyasar penglibatan 50,000 penduduk negeri ini meliputi kawasan berkepadatan tinggi dan golongan berpendapatan rendah bagi meringankan beban mereka.

Seramai 4,352 individu terlibat dalam program saringan setakat Februari yang turut membabitkan 894 warga emas dari 32 pusat jagaan.


Pengarang :