Petugas program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) menunjukkan kad pendaftaran vaksin di Dataran Puchong Permai, Puchong pada 4 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: ImuniSel tingkatkan jumlah daftar terima vaksin Covid-19

SHAH ALAM, 6 APRIL: Sebanyak 56 peratus rakyat negeri ini masih belum mendaftar menerima vaksin Covid-19 setakat Sabtu lalu, kata Dato’ Menteri Besar.

Justeru, Dato’ Seri Amirudin Shari berharap Program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (ImuniSel) dapat meningkatkan jumlah pendaftaran suntikan berkenaan.

“Tiada akses telefon pintar dan internet selain kurang pengetahuan menggunakan platform dalam talian menjadi faktor pendaftaran rendah.

“Jadi, menerusi ImuniSel ini kita dapat membantu golongan tertentu mendaftar secara manual melalui kaunter dan kad yang disediakan,” katanya di Facebook.

Jelasnya program pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 secara besar-besaran itu memerlukan sukarelawan bergerak ke seluruh negeri bagi mendekati golongan sasar seperti warga emas dan Orang Asli.

“Individu akan didaftarkan menerusi aplikasi ImuniSel atau kiosk yang dibuka di pasar malam serta kedai serbaneka terpilih.

“Janji temu vaksinasi akan diketahui menerusi tiga cara sama ada melalui ketua masyarakat, imbasan kad ImuniSel pada telefon pintar atau hubungi talian 03-56500501 atau 03-56500502,” katanya.

ImuniSel dilancarkan kelmarin merupakan inisiatif Kerajaan Selangor memastikan semua golongan mendaftar suntikan vaksin.

Program itu digerakkan pemimpin tempatan antaranya pejabat Dewan Undangan Negeri dan parlimen, ahli majlis, ketua kampung, ketua komuniti serta sukarelawan ImuniSel.


Pengarang :