Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama petugas barisan hadapan selepas meninjau persiapan pembukaan Pusat Suntikan Vaksin Daerah di Stadium Tertutup, Kuala Selangor pada 23 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB lawat pusat suntikan vaksin, gesa warga emas dan OKU mendaftar

KUALA SELANGOR, 23 APRIL: Dato’ Menteri Besar meninjau persiapan pembukaan pusat suntikan vaksin daerah di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Program Imunisasi Covid-19 Peringkat Daerah Kuala Selangor bermula Isnin ini menyasarkan 180,000 individu terdiri warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.

“Saya harap golongan terlibat segera daftar program suntikan, saya difahamkan jumlah pendaftaran belum mencapai sasaran ditetapkan.

“Justeru saya minta pemimpin masyarakat memainkan peranan dengan bergerak aktif membantu proses pendaftaran,” katanya ditemui pemberita.

Beliau berkata program suntikan di daerah lain dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada bekalan vaksin.

“Proses perolehan vaksin diputuskan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, jadi kita tunggu pengumuman beliau.

“Bagaimanapun saya minta pegawai daerah, ahli parlimen dan Ahli Dewan Negeri buat persiapan awal daripada segi kemudahan serta kelengkapan,” katanya.

Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang menyasarkan 9.4 juta penerima bermula di beberapa negeri sejak Isnin.


Pengarang :