Dato’ Seri Amirudin Shari menyampaikan ucapan perasmian Mesyuarat Agung Alumni 4B Selangor di Hotel De Palma, Shah Alam pada 3 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: Pembelian jenis vaksin Covid-19 dimuktamad seawal Mei

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kerajaan Selangor akan memuktamadkan jenis vaksin Covid-19 yang dibeli daripada kerajaan persekutuan untuk kegunaan negeri pada awal Mei ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu masih dibincangkan secara terperinci bersama pihak pengeluar sebelum membuat keputusan pembelian.

“Kita akan putuskan (jenis vaksin) seawal Mei untuk memastikan akhir Jun kita akan dapat vaksin tersebut seterusnya membantu mempercepatkan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” katanya.

Beliau ditemui Media Selangor selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Alumni 4B (Bersatu, Bersetia, Belajar dan Berkhidmat) di Hotel De’Palma hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata Kerajaan Negeri akan melancarkan program Outreach Imunisasi Covid-19 Selangor (Imunisel) di Dataran Puchong Permai, Puchong esok.

Menurutnya, program itu bertujuan membantu masyarakat yang tidak memiliki telefon pintar mendaftar suntikan vaksin secara dalam talian dengan bantuan ketua masyarakat, ahli majlis dan sukarelawan.

Minggu lalu, Amirudin memaklumkan Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti lima vaksin ditempah kerajaan persekutuan sebelum membuat keputusan pembelian.

Sebelum ini, beliau turut mengumumkan kelulusan peruntukan kira-kira RM100 juta untuk pembelian vaksin bagi membantu mempercepatkan program vaksinasi negara.

Pada 18 Januari lalu, Kerajaan Negeri berhasrat membeli kira-kira lima juta dos vaksin Covid-19 bagi rakyat negeri itu dan usaha berkenaan disambut baik kerajaan persekutuan serta Kementerian Kesihatan.


Pengarang :