Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan berjumlah RM155,000 kepada 33 masjid di daerah Kuala Langat sempena program Jelajah Ramadan Kita Selangor di Masjid At-Taqwa, Banting, Kuala Langat pada 27 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGOR
BERITA UTAMASELANGOR

MB salur sumbangan RM155,000 kepada 33 masjid di Kuala Langat

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar menyampaikan bantuan sejumlah RM155,000 kepada 33 masjid di daerah ini.

Sumbangan disalurkan menerusi anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Nasional Selangor Berhad (PNSB).

Dato’ Seri Amirudin Shari berharap inisiatif itu menampung kekurangan dana susulan penutupan serta pengehadan bilangan jemaah sejak perebakan Covid-19.

“Mungkin dana diberikan tidak cukup menampung keperluan setahun tetapi setidaknya dapat menampung keperluan sepanjang Ramadan,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Masjid Daerah Kuala Langat di Masjid At-Taqwa, Banting sempena Jelajah Ramadan Kita Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berbuka puasa bersama penjawat awam selepas penyerahan watikah pelantikan ketua kampung di Dewan Orang Ramai Kampung Endah, Kuala Langat pada April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Beliau kemudian menghadiri Majlis Penyampaian Watikah Ketua Kampung dan Majlis Berbuka Puasa di Dewan Jubli Emas Kampung Endah.

Pada 23 April, Amirudin berkata hampir RM2 juta diperuntuk kepada semua masjid di Selangor sepanjang Ramadan.

Tambah beliau semua masjid di negeri ini menerima sumbangan antara RM5,000 hingga RM10,000.


Pengarang :