Kelihatan petugas kesihatan fokus mengendalikan sampel ujian Covid-19 menerusi Saringan Komuniti di Sungai Long, Kajang pada 24 April 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Saringan Komuniti Kajang kesan 27 kes Covid-19

SHAH ALAM, 25 APRIL: Program Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Negeri di Bandar Sungai Long Kajang semalam mengesan 27 kes positif Covid-19 dengan sebahagian daripada mereka tidak menunjukkan gejala.

Dato’ Menteri Besar berkata seramai 634 individu menjalani saringan secara percuma yang diadakan di pusat kebajikan Home of Karn En.

“Cuaca panas terik serta bulan Ramadan bukan penghalang saringan komuniti percuma diadakan untuk menangani penularan wabak.

“Di kala kita dibelenggu kebimbangan jumlah kes Covid-19 semakin meningkat, Kerajaan Negeri akan meningkatkan saringan percuma.

“Semoga usaha kita berhasil bagi memenangi peperangan ini,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook.

Beliau berkata selain pematuhan tatacara operasi piawai (SOP), saringan awal penting bagi tujuan isolasi dan pengesanan kontak untuk memutuskan rantaian wabak.

Pada Isnin Amirudin berkata saringan bersasar dilakukan untuk mengesan pembawa virus dalam komuniti sekali gus mengekang gelombang keempat wabak.

Beliau turut mengumumkan penubuhan jawatankuasa dianggotai Jabatan Pendidikan, Jabatan Kesihatan dan Unit Bencana bertujuan mengenal pasti kawasan berisiko tinggi.

Pada Jumaat, Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sehingga 7 Mei susulan kenaikan kes dalam kalangan pelajar.

Sebelum ini sebanyak 19 sekolah di Selangor ditutup selama tujuh hari mulai Isnin bagi mengekang perebakan Covid-19.


Pengarang :