Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Selangor rancang bina muzium hargai karya seni

AMPANG, 2 APRIL: Sebuah muzium seni moden sedang dirancang dibina di Selangor dalam usaha menghargai karya seni, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata negeri itu ada menerbitkan beberapa karya menerusi penulisan dan ia akan dipamerkan di muzium berkenaan nanti.

“Kita di Selangor memang mengalu-alukan dan menghargai. Kita menerima karya… Negeri Selangor kita terbitkan beberapa karya menerusi penulisan dan juga kita akan membuat satu muzium yang dinamakan muzium seni moden,” katanya.

Beliau yang ditemui dalam program Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) di sebuah hotel di sini, malam tadi berkata pihaknya juga berhasrat menjadikan Selangor sebagai tempat latihan dan penggambaran filem bertaraf dunia.

“Kita yakin dunia ini bukan dibentuk dengan bakul-bakul makanan sahaja, bukan dasar polisi yang hebat, bukan dengan sebab pelaburan tetapi bangsa kita, negara kita, jiwa kita juga dibangunkan dengan seni budaya yang menjadikan kita lebih matang, bertamadun dan bertanggungjawab,” katanya.

Program bersama Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri pelakon dan pengarah terkenal Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi rap Altimet.

Program Temu Anwar turut menyaksikan kedua-dua selebriti itu menerima kad keahlian KEADILAN.


Pengarang :