Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga, kiri) menunaikan solat isyak dan tarawih berjemaah di Masjid As Shariff, Gombak pada 13 April 2021. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB seru insafi diri ketika Ramadan, bantu golongan terjejas wabak

SHAH ALAM, 14 APRIL: Dato’ Menteri Besar mengajak umat Islam negeri ini menginsafi diri sempena Ramadan dan bersama membantu golongan terkesan akibat Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ujian melanda turut mengajar semua pihak memperhalusi banyak perkara dalam kehidupan seharian dan tidak bersikap sambil lewa.

“Pembaziran makanan sering menjadi-jadi sewaktu Ramadan. Berpada-padalah dan berkongsilah rezeki dengan mereka di sekeliling kita.

“Teruskan berbudi pekerti serta penuh kemurahan hati membantu peniaga kecil, pemilik restoran, penghantar makanan, pengusaha tekstil dan mereka yang terjejas,” katanya dalam perutusan Ramadan.

Beliau juga menasihati pihak yang menyantuni golongan kurang bernasib baik untuk mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang masa bagi mencegah penularan wabak.

Amirudin turut bersyukur diberi sedikit ruang untuk menunaikan solat tarawih dan tadabbur al-Quran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat.

“Ibadat asas dalam Rukun Islam tidak berhenti sekadar persoalan makan dan minum tetapi berkait soal pematuhan kepada Yang Maha Pemberi.

“Bersama-sama dengan amalan mulia seperti bersedekah dan qiamullail, amalan puasa sangat peribadi sehingga menjadi rahsia antara Allah dan hamba, hanya Dia yang mengetahui siapa yang mematuhi ‘SOP’nya,” katanya.

Jelasnya, amalan puasa melatih diri berdisiplin untuk bangun bersahur dan berbuka pada waktu tertentu selain menjaga batas perilaku.

“Semua ini satu peringatan agar kita lebih bersedia dalam peperangan dengan yang tidak nampak, yakni nafsu kita sendiri,” katanya.

Di akhir perutusan, Dato’ Menteri Besar mengucapkan selamat berpuasa kepada umat Islam dan berdoa dikurniakan mahabbah, rahmah dan maghfirah serta keampunan.


Pengarang :