Dato’ Seri Amirudin Shari berucap ketika majlis Selangor Bertadabbur di Masjid Jamiatus Solahiah, Gombak pada 14 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB seru hayati kandungan al-Quran, teguhkan iman

GOMBAK, 15 APRIL: Umat Islam negeri ini diseru melakukan tadabbur dengan menghayati kandungan al-Quran secara mendalam bagi meneguhkan keimanan.

Dato’ Menteri Besar berkata penelitian ayat melalui kitab suci itu mampu memimpin manusia ke jalan yang benar meskipun dihimpit situasi sukar.

“Menyentuh tentang al-Quran yang bukan hanya kita tadarus, melazimi atau talaqi tetapi tadabbur
dapat menyentuh hati seseorang jika tahu makna dibawakan.

“Insya-Allah, manusia akan mendapat petunjuk antara hak dan batil jika kehidupan seharian berpandukan al-Quran, lebih-lebih lagi ketika pandemik Covid-19 ramai tidak mampu kawal emosi sehingga banyak kes pelik berlaku,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berucap ketika melancarkan program Selangor Bertadabbur di Masjid Jamiatus Solahiah, Kampung Sungai Tua Bahru di sini malam tadi.

Program kali ketiga anjuran pejabat Dato’ Menteri Besar dan Asatizah Selangor turut mendapat kerjasama pejabat EXCO hal ehwal agama Islam dan Jabatan Agama Islam Selangor.

Amirudin menambah sebanyak 24 masjid seluruh negeri dipilih untuk melaksanakan program itu sepanjang Ramadan bagi berkongsi intisari al-Quran.

“Ini antara inisiatif Kerajaan Negeri untuk mengimarahkan masjid. Alhamdulillah tahun ini kita dapat laksanakan secara fizikal seperti 2019,” kata wakil rakyat Sungai Tua.


Pengarang :