Pengerusi KDEB Waste Management (KDEBWM) merangkap EXCO Kerajaan Tempatan, Ng Sze Han (tengah) menunjukkan piala yang dimenangi sempena majlis penganugerahan International Business Review ASEAN 2020 di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur pada 2 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Tiga syarikat GLC Selangor rangkul anugerah IBR Asean 2020

KUALA LUMPUR, 3 APRIL: Tiga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Selangor berjaya merangkul Anugerah International Business Review ASEAN 2020 susulan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan.

Syarikat tersebut meliputi KDEB Waste Management yang mengungguli kategori kecemerlangan korporat sektor utiliti, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (kecemerlangan korporat sektor utama pengurusan perlombongan transformatif dan lestari) manakala Smart Selangor Delivery Unit (penyampaian perkhidmatan kerajaan dalam pembangunan negeri pintar).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pengiktirafan berprestij daripada The IBR Asia Group membuktikan komitmen dan kerja keras ditonjolkan ketiga-tiga syarikat milik penuh Kerajaan Negeri selama ini berhasil.

“Saya bangga dengan pencapaian syarikat terlibat. Sudah tentu pengiktirafan ini amat signifikan untuk mereka terus menterjemah perkhidmatan terbaik kepada rakyat di negeri ini.

“Namun, kita melihat ia bukanlah kemuncak perjalanan sebaliknya bagaimana mahu mencatat keputusan lebih baik pada masa akan datang selain menjadi persaingan kepada pasukan atau GLC lain untuk melakar kejayaan besar,” katanya.

Terdahulu, beliau tampil sebagai undangan khas pada majlis penyampaian anugerah yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Acara disempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Sebanyak 17 syarikat tempatan lain turut tersenarai dalam penganugerahan itu antaranya Celcom Axiata Berhad, BIMB Holdings, Al-Ikhsan Sports Sdn Bhd, Sun Life Malaysia dan Pilot Constructions Sdn Bhd.

 


Pengarang :