Kakitangan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) meletakkan beg 10 serbuk karbon teraktif di Sungai Batang Benar untuk mencegah pencemaran bau pada 13 April 2021. Foto LUAS
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

MB: Tindakan pantas tangani pencemaran elak henti tugas loji

SHAH ALAM, 14 APRIL: Tindakan pantas Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengatasi pencemaran Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan Isnin lalu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terus beroperasi.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif tersebut dilakukan selepas menerima laporan awal mengenai insiden berpunca daripada sebuah kilang cat yang terbakar.

“Tindakan pantas berjaya mengelakkan henti tugas LRA Sungai Semenyih. Situasi tersebut menyelamatkan bekalan air bersih untuk ramai warga Selangor,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari menerusi Facebook hari ini.

Isnin lalu, LUAS melakukan tindakan segera selepas menerima laporan Sungai Batang Benar dicemari air berwarna putih akibat kebakaran kilang cat di Nilai 3.

EXCO Alam Sekitar Hee Loy Sian berkata siasatan awal mendapati jarak insiden ke muka sauk Jenderam Hilir, Sungai Semenyih ialah 13.7 kilometer dan LUAS telah mengaktifkan Kod Kuning berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh di kawasan terlibat yang berisiko menyebabkan henti tugas LRA berkenaan.

Katanya, ujian pensampelan bau dilaksanakan di tiga lokasi berbeza di Sungai Pajam, Sungai Beranang dan Sungai Semenyih mencatatkan kadar bau sifar ton.

LUAS turut meletakkan 10 beg serbuk karbon teraktif di sungai tersebut untuk mencegah pencemaran bau dalam air mentah.


Pengarang :