Selangorkini
Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari menyerahkan sumbangan keperluan asas kepada Sekolah Menengah Sains Banting, Kuala Langat yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 27 April 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tinjau bilik gerakan SM Sains Banting, salur bantuan barangan asas

KUALA LANGAT, 27 APRIL: Dato’ Menteri Besar turun padang meninjau bilik gerakan di Sekolah Menengah (SM) Sains Banting yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Dato’ Seri Amirudin Shari diiringi Ahli Dewan Negeri Morib Hasnul Baharuddin mendengar taklimat tertutup oleh Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berhubung situasi terkini.

Beliau kemudian menyampaikan bantuan barangan asas untuk menampung keperluan sepanjang tempoh PKPD.

Ketika ditemui pemberita, beliau berkata seramai 92 individu di sekolah itu positif Covid-19 setakat hari ini.

“Saya dimaklumkan ujian saringan kedua akan diadakan pada 29 April dan 1 Mei, sama-sama kita berdoa semoga tiada lagi kes positif, Insya-Allah,” katanya.

Pelaksanaan PKPD di SM Sains Banting bermula 24 April hingga 7 Mei.

Kuarantin melibatkan seramai 966 individu terdiri 836 pelajar, 70 guru, 21 kakitangan, enam warden asrama, 20 pekerja dewan makan, enam pekerja pembersihan dan tujuh pekerja keselamatan.

Kes indeks pertama melibatkan seorang pelajar tingkatan satu yang dikesan bergejala pada 12 April serta disahkan positif pada 15 April manakala kes kedua dan ketiga pula melibatkan kontak rapat kepada kes pertama.


Pengarang :