Ketua Pegawai Eksekutif, Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Norita Mohd Sidek mengagihkan juadah berbuka puasa kepada kakitangan di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam pada 27 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MBI edar 500 juadah berbuka puasa kepada kakitangan Karangkraf

SHAH ALAM, 27 APRIL: Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI mengedarkan 500 pek juadah berbuka puasa kepada warga kerja Kumpulan Media Karangkraf hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Norita Mohd Sidek berkata agihan itu adalah sebahagian inisiatif Ihya Ramadan anjuran agensi dan syarikat penerbitan itu merupakan lokasi ke-11.

“Keseluruhan peruntukan selama 18 hari edaran adalah sebanyak RM280,000 dan kita akan teruskan lagi ke beberapa lokasi terpilih sehingga akhir Ramadan.

“Kita harap dengan sumbangan ini dapat menceriakan mereka yang bertugas sepanjang bulan mulia ini. Pada masa sama menjimatkan masa dan wang tidak perlu keluar mencari juadah berbuka,” katanya.

Beliau ditemui SelangorKini selepas program agihan juadah nasi putih, ayam mentega dan kurma di Kumpulan Media Karangkraf Seksyen 15, di sini.

Edaran sama itu akan diteruskan ke Politeknik Shah Alam, Balai Bomba Shah Alam, Ibu Pejabat Polis Shah Alam, Proton Shah Alam dan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penduduk PPR Lembah Subang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga, DUN Kota Anggerik, Pejabat Parlimen Shah Alam dan PPR Kampung Baru Hicom Seksyen 26 turut akan menerima juadah tersebut.


Pengarang :