Selangorkini
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar menyampaikan sumbangan kepada asnaf di PPR Kota Damansara. 24 April 2021. Foto Facebook MBPJ
PBT SELANGOR

MBPJ santuni keluarga asnaf, warga emas dan OKU

SHAH ALAM, 25 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyantuni lebih 60 keluarga asnaf, warga emas dan orang kelainan upaya (OKU) sepanjang April ini.

Golongan berkenaan diberi wang tunai RM250, barangan keperluan harian, makanan kesihatan, lampin pakai buang, tilam dan hamper biskut raya.

“Penganjuran program amal ini bertujuan membantu mereka menyambut bulan Ramadan dengan penuh keceriaan terutamanya ketika mengharungi pandemik Covid-19.

“Program ini juga merupakan sebahagian tanggungjawab sosial korporat MBPJ dalam menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan selain mengeratkan hubungan silaturrahim,” katanya di Facebook.

Pada 12 April lalu, MBPJ menyampaikan sumbangan kepada penduduk terpilih di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Desa Mentari, Taman Medan, Taman Dato Harun, Damansara Damai dan beberapa kawasan sekitar Petaling Jaya.

Manakala, Datuk Bandar MBPJ, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar turut menyantuni dan memberi sumbangan kepada empat keluarga asnaf di PPR Kota Damansara.

MBPJ juga akan berkunjung ke PPR Lembah Subang untuk menyumbang kepada tiga keluarga asnaf terpilih minggu depan.

Setiap penerima terpilih ini merupakan golongan B40 yang mempunyai pendapatan kurang RM2,000 dan pemegang status ibu tunggal, warga emas, keluarga yang mempunyai anak ramai serta mempunyai ahli keluarga atau OKU terlantar.


Pengarang :