Anggota Rela ditugaskan di laluan masuk dan keluar Bazar Ramadan Taman Delima, Kajang. Pengunjung perlu beratur dengan penjarakan sosial dan mengimbas kod QR MYSejahtera serta saringan suhu badan sebelum memasuki tapak bazar. Imej dirakamkan pada 14 April 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

MBPJ sedia pas bernombor, pastikan pengunjung bazar Ramadan patuh SOP

SHAH ALAM, 14 APRIL: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyediakan pas bernombor kepada pengunjung bazar Ramadan bagi memastikan tatacara operasi piawaian (SOP) dipatuhi.

Pengarah Jabatan Perlesenan Sharinaz Samsudin berkata pas disediakan di laluan pintu masuk bagi membantu pihaknya mengetahui jumlah pengunjung dalam satu-satu masa, lapor Harian Metro.

“Kita tidak mahu ada kluster bazar Ramadan, sebab itu kita pastikan peniaga mematuhi syarat ditetapkan.

“Saya lihat, rata-rata peniaga dan pengunjung mematuhi SOP. Kita akan pertingkatkan lagi dari semasa ke semasa,” katanya yang turut memantau Bazar Ramadan SS6/1 Kelana Jaya.

Beliau berkata sepanjang Ramadan tahun ini, MBPJ menyediakan 800 lot gerai niaga di 21 tapak bazar.

“Sebelum ini lebih 1,000 tapak tapi kali ini kita hadkan supaya ada penjarakan,” katanya.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengarahkan pihak berkuasa memantau ketat operasi bazar Ramadan bagi mencegah perebakan Covid-19 dan kewujudan kluster baharu.

Beliau berkata bilangan peniaga dikurangkan kepada 11,000 berbanding 14,000 orang pada 2019 mengikut amalan norma baharu.

Kerajaan membenarkan operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di seluruh negara tahun ini selepas mendapat pandangan Kementerian Kesihatan Malaysia.


Pengarang :