Penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melaksanakan operasi bersepadu di Pasar Moden Sri Muda Seksyen 25 pada 4 April 2021. Foto ihsan: MBSA
PBTSELANGOR

MBSA kompaun lima peniaga Pasar Moden Sri Muda

SHAH ALAM, 5 APRIL: Lima kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terhadap lima peniaga di Pasar Moden Sri Muda Seksyen 25 di sini semalam.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA berkata mereka didapati bersalah kerana gagal mempamerkan label dan tanda harga pada barangan jualan.

Menurut Shahrin Ahmad individu tersebut juga tidak mempamerkan lesen perniagaan dan menjaja di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Operasi bersepadu ini bertujuan memastikan pematuhan dari segi kebersihan, kesihatan dan syarat lesen yang ditetapkan agar dipatuhi oleh penyewa pasar.

“Selain itu, peniaga ini juga perlu mengguna alat timbang sukat yang ditentusahkan,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata pihaknya berharap penyewa premis mematuhi arahan, menguruskan pasar dengan baik sekali gus dapat membangun ekonomi disamping memberi peluang kepada peniaga kecil kembangkan perniagaan.

“MBSA mengingatkan semua pihak patuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang pandemik dan pada masa sama berusaha memutuskan rantaian Covid-19,” katanya.

Operasi semalam turut disertai pegawai dan anggota daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Shah Alam serta Ahli Majlis MBSA.


Pengarang :