Pengunjung mengimbas kod QR dan memakai pelitup muka sebelum memasuki bazar Ramadan di Kompleks PKNS, Seksyen 14 Shah Alam pada 17 April 2021. Foto BERNAMA
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MBSA tempatkan 200 anggota pantau SOP bazar Ramadan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menempatkan 200 anggota penguat kuasa di 51 bazar Ramadan bagi memastikan tatacara operasi piawai (SOP) dipatuhi.

Pemangku Datuk Bandar berkata anggota melibatkan kakitangan Jabatan Pelesenan, Kesihatan Persekitaran dan Sisa Pepejal selain dibantu Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

“Anggota akan memastikan pengunjung ikut ketetapan seperti tidak membawa kanak-kanak bawah 12 tahun. Kita minta semua pihak agar patuh.

“Gunakan peluang yang diberikan sebaik mungkin dan MBSA berusaha memudahkan segala urusan bazar,” kata Mohd Rashidi Ruslan ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Hotel Concorde semalam.

Beliau menambah semua bazar termasuk 21 kendalian pihak swasta turut mengehadkan jumlah pengunjung mengikut keluasan lokasi.

“Kita ambil nisbah satu gerai tiga pengunjung. Jadi jika ada 100 tapak gerai, hanya 300 pengunjung dibenarkan dalam satu-satu masa,” katanya.

Bermula semalam, Kerajaan Selangor menyelaras semula penguatkuasaan SOP seluruh bazar Ramadan dan Aidifitri bagi mengelakkan kluster baharu serta gelombang keempat Covid-19.

Ketetapan baharu antaranya melibatkan laluan sehala, pelaksanaan sistem bernombor, mengehadkan bilangan pengunjung dan kanak-kanak bawah 12 tahun tidak dibenarkan masuk.

 

 


Pengarang :