Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS), Dr Mohd Azhar Mohamed Ali menerima penghargaan pengguna terawal Inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor daripada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di majlis pelancaran inisiatif berkenaan pada 16 April 2021. Foto Facebook MDHS
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

MDHS antara empat PBT terawal guna kemudahan digital

SHAH ALAM, 17 APRIL: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) merupakan antara empat pihak berkuasa tempatan (PBT) terawal menggunakan kemudahan digital dalam pentadbirannya.

PBT itu berkata pihaknya mula mengguna rangkaian internet Selangor Gigabit Network (SeGNet) bermula penghujung 2020 sejajar agenda Smart Selangor di bawah domain Infrastruktur Digital Pintar.

“Rangkaian SeGNet banyak membantu kami dalam mesyuarat secara virtual atau maya di mana ia lebih mudah, tidak secara bersemuka, menjimatkan kos dan mengupayakan talian dengan lebih efektif dan efisyen oleh kakitangan,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, MDHS menerima penghargaan sebagai pengguna terawal kemudahan itu pada Majlis Pelancaran Inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor yang dianjurkan oleh Smart Selangor Delivery Unit (SSDU)  di Dewan Serbaguna Wisma Ehsan semalam.

Majlis yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar bertujuan menghargai usaha PBT dalam menggerakkan tranformasi digital untuk sektor awam di negeri ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Selangor bersedia menjadi komponen penting bagi menjayakan sasaran 80 peratus penggunaan storan awan dalam sektor awam menjelang tahun depan, selari dengan pelan MyDigital Kerajaan Persekutuan.

Tambahnya, beberapa inovasi sistem berkenaan sudah dibangunkan dan dilaksana menerusi inisiatif Infrastruktur Digital Smart Selangor (SDI) yang dikendalikan SSDU.


Pengarang :