BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Merintis al-Quran Braille, dapat sambutan negara luar

OLEH AFIX REDZUAN
FOTO HAFIZ OTHMAN

Tidak ada teks dalam format Braille ketika itu. Dari buku sekolah hinggalah al-Quran. Semuanya harus dipelajari secara lisan. Dengar, faham dan ingat.

Begitulah Dato’ Mah Hassan Omar sejak di bangku sekolah. Harus peka tiap butir tutur guru bagi menghadami tiap pengajaran.

Hilang penglihatan sejak berusia empat tahun akibat tekanan saraf mata atau glaukoma, Mah Hassan tetap gigih, tidak putus asa dan mencapai keputusan cemerlang dalam akademik.

Kepayahan itu mengakar azam dalam dirinya untuk menghasilkan bahan penerbitan untuk orang kelainan upaya (OKU) penglihatan termasuk al-Quran.

Selepas mencipta jaya dalam karier guaman, beliau berusaha keras menghasilkan al-Quran Braille yang pertama di negara ini.

Kini, syarikat kendaliannya menjadi satu-satu pengeluar kitab suci versi Braille di negara ini. Malah, cetakan itu turut mendapat permintaan umat Islam khususnya luar Timur Tengah.

ZAMAN SEKOLAH

Sekitar tahun 1960-an dan 1970-an, buku berformat Braille langsung tiada. Malah, pelajar yang ada masalah penglihatan diletak bersekali dengan pelajar normal dalam satu kelas. Guru pula tidak terlatih dalam mengajar OKU.

“Saya hanya fokus mendengar dan ingat apa yang disebutkan guru. Selepas waktu sekolah, saya minta tolong kawan rapat bacakan nota untuk saya salin dalam Braille menggunakan mesin taip Perkins Brailler.

“Itulah kaedah saya belajar zaman itu. Sukarnya mendapat ilmu,” katanya kepada Selangorkini baru-baru ini.

Pun begitu, beliau meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) pada 1981. Bahkan beliau muncul pelajar ketiga terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan St. John Jalan Bukit Nanas, Kuala Lumpur.

Tamat pengajian di Universiti Malaya dan Universiti Southampton dalam jurusan undang-undang, beliau menyandang jawatan penasihat undang-undang di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) sehingga 2005.

Namun, beliau memutuskan untuk menjalankan firma guaman sendiri bagi menumpu usaha membangunkan al-Quran Braille.

Buku Islam Hadhari menjadi projek pertamanya pada 2006 sekali gus batu loncatan sebelum mencetak al-Quran Braille pada empat tahun kemudian.

Sejak 1996 lagi, ketika beliau memimpin Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis), Mah Hassan giat menggerakkan usaha menerbitkan bahan cetakan Braille termasuk kitab suci.

Namun, isu kewangan menjadi kekangan utama ketika itu. Lebih-lebih lagi tiada pengecualian cukai pendapatan untuk derma atau penajaan ketika itu. Beliau harungi masalah dengan gigih.

“Alhamdulillah, akhirnya kita berjaya mendapatkan sejumlah dana. Ketika itu, kos menjalankan kajian dari 1996 hingga 1998 sekitar RM30,000.

Beliau kemudian menghasilkan al-Quran Braille pertama di Malaysia pada 1999 melalui penajaan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapim). Namun, al-Quran Braille terpaksa dijual pada harga RM72 berikutan kos kertas mahal.

Bermula 2008, Mah Hassan giat membangunkan KL Braille Resources untuk menghasilkan bahan penerbitan untuk OKU penglihatan.

Kewujudan perisian komputer bersuara pada hujung 1990-an banyak membantu menjayakan projek menghasilkan al-Quran Braille dengan lebih sempurna dan cepat.

Jika sebelum ini senaskhah kitab suci Braille antara tiga hingga enam bulan, tetapi perkembangan teknologi mesin cetak Braille, senaskhah al-Quran siap dicetak dalam empat jam.

Kitab suci yang lengkap 30 juzuk dibahagi kepada enam jilid. Setiap daripadanya mengandungi lima juzuk.

“Fokus kita menghantar al-Quran secara percuma yang diminta individu. Jika institusi ingin membeli, kita juga akan cetak untuk mereka,” katanya.

PILIHAN UTAMA

Al-Quran Braille itu juga dilengkapi baris dan tanda baca sekali gus kitab terbitan mereka menjadi pilihan utama OKU pengliharan dari negara luar terutama Timur Tengah.

“Orang dari bukan negara Arab susah hendak baca al-Quran tiada baris dan tanda baca. Tetapi naskhah Braille yang kita hasilkan lengkap dan sentiasa menjadi pilihan,” katanya.

Beliau yang berpengalaman menjadi setiausaha agung Perkhidmatan Kesatuan Antarabangsa Braille Quran (IBQS) pada 2013 hingga 2015 menjelaskan inisiatif mengeksport dimulakan pada 2017. Banyak permintaan diterima daripada Khazakstan, Pakistan dan India. Ada juga dari Britain dan Australia.

Beliau turut menyediakan panduan menggunakan al-Quran dan bahan bacaan Braille kepada OKU penglihatan selain mengajar menerusi aplikasi Skype.

Setiap satu kotak bahan itu seberat tujuh hingga lapan kilogram. Malah, kos penghantaran bernilai hampir RM500 ditanggung syarikatnya. Beliau juga mengalu-alukan mana-mana pihak yang berminat membuat tajaan.

“Saya tidak pernah terfikir untuk cari untung. Ini projek kebajikan walaupun dibuat oleh sebuah syarikat.

“Alhamdulillah, kita cari keuntungan dengan cara lain iaitu menerusi penerbitan buku. Al-Quran Braille kita tidak harapkan untung, sekadar amal jariah memenuhi tuntutan fardu kifayah,” katanya.


Pengarang :