Selangorkini
AGENDA NASIONAL

MetMalaysia: Kejadian ribut petir bukan kesan perubahan iklim sahaja

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjelaskan adalah kurang tepat untuk mengatakan ribut petir yang melanda pantai barat Semenanjung baru-baru ini berpunca daripada perubahan iklim semata-semata.

Merujuk kepada laporan yang disiarkan sebuah akhbar tempatan hari ini berkaitan ribut petir itu, MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan banyak faktor lain yang boleh menyebabkan ribut petir termasuk perubahan topografi, kesan pulau haba dan keragaman iklim.

“Berdasarkan rekod, hampir 80 peratus kejadian angin ribut terkuat berlaku sebelum tahun 2000 dan ini menunjukkan kejadian ribut petir yang kuat bukan perkara baharu. Oleh itu adalah kurang tepat untuk mengatakan kejadian ribut petir berlaku baru-baru ini disebabkan perubahan iklim sahaja,” menurutnya dalam kenyataan itu.

MetMalaysia bagaimanapun tidak menafikan kesan perubahan iklim berlaku di Malaysia kerana berdasarkan analisis, secara purata suhu di Semenanjung Malaysia meningkat kira-kira 2.4 darjah Celcius dalam tempoh 100 tahun.

“Di Sabah pula meningkat sebanyak 1.8 darjah Celsius dan Sarawak 1.3 darjah Celsius bagi tempoh yang sama. Selain itu, 17 daripada 20 suhu purata tertinggi bagi negara ini direkodkan selepas tahun 2000,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut kajian turut mendapati suhu tinggi di negara ini berkait rapat dengan fenomena El-Nino yang kuat seperti pada tahun 1982/83, 1997/98, 2004/05 dan 2015/16.

“Malah rekod tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius direkodkan pada 1998,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :