Vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech dan picagari khas ‘Low Dead Volume’ yang digunakan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK). Foto BERNAMA
BERITA UTAMASELANGOR

Mufti: Tidak batal jika suntik vaksin ketika puasa

SHAH ALAM, 3 APRIL: Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan puasa umat Islam tidak terbatal sekiranya mengambil suntikan vaksin Covid-19.

Mufti Selangor berkata ketetapan dibuat berdasarkan hujah bahawa suntikan bukan di rongga terbuka dan diambil bagi memelihara nyawa serta mematuhi arahan dikeluarkan kerajaan.

“Jika suntikan melalui saluran tidak terbuka seperti otot badan, peha atau lengan, dengan syarat ia tidak mengenyangkan maka puasa tidak batal. Dari aspek maqasid syariah, umat Islam disyariat menjaga nyawa jadi perlu mengambil suntikan ini.

“Langkah kerajaan mendapatkan vaksin ini merupakan usaha murni mengekang penularan pandemik. Justeru sebarang usaha kerajaan yang membawa kebaikan kepada rakyat perlu disokongan. Mentaati pemerintah merupakan perkara dituntut syarak,” kata Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid menerusi kenyataan.

Beliau menasihati umat Islam yang mengambil suntikan supaya patuh tatacara operasi piawai (SOP) Kementerian Kesihatan.

Pada 26 Mac lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menyeru rakyat agar tidak ragu mengambil suntikan terbabit.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj turut menyokong gesaan dan nasihat supaya rakyat tidak gusar menerima suntikan tersebut ketika berpuasa di bulan Ramadan.


Pengarang :