Majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt Kuala Lumpur pada 27 Mac 2021. Foto Instagram lofa.haris
AGENDANASIONAL

Neelofa didenda RM20,000, suami RM10,000 langgar SOP

KUALA LUMPUR, 27 APRIL: Selebriti Neelofa dikenakan kompaun sebanyak RM20,000 atas dua kesalahan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) penganjuran majlis perkahwinan serta merentas negeri.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohamad Zainal Abdullah berkata suami kepada Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, Muhammad Haris Mohd Ismail pula dikompaun RM10,000 kerana turut sama melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri.

Beliau berkata kompaun RM1,500 turut dikenakan terhadap setiap 20 ahli keluarga Neelofa yang kesemuanya berjumlah RM30,000 kerana gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung.

“Semua yang terlibat akan dikeluarkan kompaun pada hari ini membabitkan jumlah sebanyak RM60,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kompaun kepada Neelofa dan suaminya dikenakan dengan tiada diskaun diberikan.

Neelofa, 32, dan pendakwah bebas Muhammad Haris atau lebih dikenali sebagai PU Riz, 26, melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel di ibu negara pada 27 Mac lepas.

Mohamad Zainal berkata pada 26 April lepas, kertas siasatan kes perlanggaran SOP di majlis perkahwinan pasangan itu telah dikembalikan dari Jabatan Peguam Negara, dengan keputusan mengenakan kompaun di bawah Peraturan 19 PeraturanPeraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No. 4) 2021.

Kesalahan pertama oleh Neelofa ialah selaku penganjur, beliau gagal mematuhi arahan Ketua Pengarah Kesihatan mengenai pematuhan SOP penganjuran majlis sosial Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Beliau gagal memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter sewaktu majlis akad nikah berlangsung manakala kesalahan kedua kerana melanggar kebenaran untuk tujuan merentas negeri yang diberikan oleh pegawai diberi kuasa memandangkan ada antara aktiviti itu berada di luar skop kebenaran yang diberikan oleh pihak polis.

Polis juga menasihati orang ramai supaya terus mematuhi PKPB dan kegagalan mematuhi perintah itu membolehkan tindakan diambil di bawah peruntukan undang-undang.

Pada 27 Mac lepas, tular sekeping gambar di media sosial memaparkan sejumlah tetamu hadir di majlis perkahwinan Neelofa gagal mematuhi SOP PKPB yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sehingga mendapat kecaman ramai.

Selain itu, beberapa gambar memaparkan Neelofa dan suaminya berada di Langkawi turut tular di media sosial hingga menimbulkan beberapa persepsi, termasuk dakwaan merentas negeri untuk berbulan madu pasangan terbabit.

– BERNAMA


Pengarang :