Pemukiman pimpinan Pakatan Harapan di Port Dickson pada 8 dan 9 April 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim
AGENDANASIONAL

PAKATAN desak PM buat sidang Parlimen, tamatkan darurat

SHAH ALAM, 9 APRIL: Pakatan Harapan (PAKATAN) mendesak perdana menteri mengadakan sidang Parlimen bagi mengatasi masalah negara ketika ini.

Gabungan itu dalam kenyataan turut menggesa Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk menamatkan darurat.

“Menginsafi bahawa pandemik Covid-19 mendatangkan dampak yang cukup mendalam kepada rakyat, ekonomi dan negara malah dasar Perikatan Nasional jelas gagal menangani sepenuhnya.

“Menyesali demokrasi negara parah akibat malapetaka pengkhianatan dan pembelotan politik yang terkutuk hingga meluntur dan menghakis kepercayaan rakyat terhadap demokrasi,” kata PAKATAN.

Gesaan oleh pemimpin gabungan berkenaan dibuat semasa permukiman dua hari di Port Dickson, Negeri Sembilan yang bermula semalam.

Pemukiman itu dihadiri pemimpin utama PAKATAN antaranya Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, Majlis Presiden PAKATAN menyarankan Parlimen bersidang seawal Mac susulan pandangan Yang di-Pertuan Agong yang membenarkannya dalam tempoh darurat.

Pada masa sama, gabungan itu turut menamakan Anwar, yang juga pengerusi PAKATAN untuk mengetuai kempen pilihan raya umum ke-15 (PRU15) dan diangkat sebagai calon perdana menteri.

“Kami mengulangi ikrar, tekad dan iltizam untuk terus memperkukuh PAKATAN dalam mendepani PRU15 seterusnya memaparkan upaya untuk mentadbir dan memerintah negara dengan amanah, demokratik dan adil,” kata gabungan itu lagi.


Pengarang :